Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Malaysia menyokong inisiatif Jepun dalam menganjurkan persidangan mengenai kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada Julai ini, khususnya berkaitan pembangunan semula Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu sangat bermakna bagi Malaysia dan umat Islam secara keseluruhannya.
“Kami bersetuju menyokong inisiatif Jepun untuk mempengerusikan mesyuarat menteri pada Julai bagi CEAPAD, yang memfokuskan kepada pembinaan semula Gaza dan Palestin.
“Ini amat bermakna bagi Malaysia dan sudah pasti banyak negara, termasuk masyarakat Islam di seluruh dunia,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba di Bangunan Perdana Putra.
Kedua-dua pemimpin negara itu turut menyatakan sokongan terhadap usaha yang dijalankan Sekretariat ASEAN (ASEC).
“Kami juga menyokong inisiatif ASEC dan akan berunding dengan rakan-rakan ASEAN untuk menganjurkan mesyuarat ini di Kuala Lumpur semasa Sidang Kemuncak ASEAN.
“Kami turut membincangkan keperluan untuk mengekalkan keamanan dan menyokong Kod Tatalaku Laut China Selatan, kerjasama Indo-Pasifik, serta resolusi damai yang berpandukan kepada Konsensus Lima Perkara di Myanmar,” ujarnya.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin bersama deligasi negara masing-masing mengadakan mesyuarat dua hala, membincangkan dan bertukar pandangan mengenai tahap perkongsian strategik komprehensif yang merangkumi isu-isu perdagangan dan pelaburan.
Ini merupakan lawatan pertama Ishiba ke Malaysia sejak menyandang jawatan Perdana Menteri Jepun pada Oktober tahun lalu.
Menurut Anwar, perkara itu menunjukkan beliau memandang serius terhadap Malaysia dengan kerjasama serta beberapa isu yang bertujuan meningkatkan hubungan kedua-dua negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.