comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia, Singapura capai beberapa kemajuan dalam isu tertunggak – PM

Anwar bersama Lawrence di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan hari ini. – FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

VIENTIANE: Malaysia dan Singapura hari ini berjaya mencapai kesepakatan dan kemajuan berkaitan beberapa isu tertunggak antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kemajuan itu dicapai pada pertemuan dua hala antara beliau bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong.

Pertemuan selama hampir 40 minit itu diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di sini.

“Saya dan Lawrence berbincang beberapa perkara terkait kepentingan kedua-dua negara, terutama meneroka kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu berbangkit secara berkesan dan sepantas mungkin.

“Saya dan Lawrence kemudian langsung mengetuai mesyuarat dua hala bersama menteri dan delegasi kedua-dua negara.

“Alhamdulillah, pertemuan ini mencapai beberapa kesepakatan dan kemajuan terkait beberapa isu tertunggak, yang Insya-Allah akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam sesi permukiman tahunan Malaysia-Singapura hujung tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

Malaysia dan Singapura sebelum ini dilaporkan mempunyai beberapa isu tertunggak sejak sekian lama, antaranya berkaitan kawalan ruang udara, isu air dan sempadan maritim.

Pada sebelah pagi, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Timor Leste, Xanana Gusmão.

Antara yang dibincangkan kedua-dua pemimpin, termasuk keanggotaan penuh Timor Leste dalam blok ASEAN, yang diyakini mampu memperluas dan mengembangkan sektor ekonomi serantau.

Timor-Leste masih menunggu keputusan konsensus negara ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh blok serantau itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini