KUALA LUMPUR: Malaysia menyifatkan perjanjian gencatan senjata disepakati Hamas dan Israel sebagai permulaan penting untuk menamatkan konflik berlarutan selama 15 bulan yang mengorbankan ribuan nyawa.
Serentak itu, Wisma Putra dalam kenyataan hari ini, menegaskan perjanjian itu turut membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang baharu disalurkan kepada rakyat Gaza.
Ini kerana, katanya, bantuan kemanusiaan itu amat diperlukan rakyat Gaza, terutama ketika musim sejuk yang sangat mencabar.
Malaysia juga memuji kerajaan Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) serta pengantara masing-masing atas kesungguhan dan komitmen dalam mencapai kesepakatan bagi perjanjian terbabit.
“Usaha kini perlu ditumpukan kepada pelaksanaan berkesan dan sepenuhnya, mengikut komitmen diberikan semua pihak berkenaan.
“Malaysia menyifatkan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan serta mereka yang ditahan sewenang-wenangnya dicapai semalam, sebagai perkembangan amat dialu-alukan,” katanya.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, Israel dan Hamas mencapai perjanjian gencatan senjata yang dibahagikan kepada tiga fasa, selepas lebih 460 hari konflik yang membawa kemusnahan besar kepada Gaza.
Mengesahkan perkara itu, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani, berkata ia akan berkuat kuasa Ahad ini, namun usaha menjayakan perjanjian antara Israel-Hamas masih diteruskan.
Sejak perang bermula pada Oktober 2023, Israel sudah membunuh lebih 46,000 rakyat Palestin di Gaza.
Sementara itu, Wisma Putra berkata, Malaysia kekal teguh bersolidariti dengan Palestin, sambil menjelaskan terdapat peluang untuk masyarakat antarabangsa bersatu mencari penyelesaian kekal kepada antara konflik yang berlarutan paling lama di dunia itu.
“Malaysia dengan tegas menyokong hak rakyat Palestin menentukan nasib mereka sendiri dan mewujudkan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, sebagai matlamat utama untuk mencapai keamanan dan kestabilan berkekalan di Asia Barat,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.