comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia seru NAM perkukuh solidariti bersama Palestin

Foto : Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan / Facebook

NEW YORK: Malaysia menyeru negara-negara anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) untuk bersatu dalam menyokong hak rakyat Palestin bagi menentukan nasib sendiri, selaras dengan nilai teras gerakan itu iaitu kemerdekaan, kenegaraan dan kedaulatan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan kepentingan menyokong Palestin dalam ucapannya pada Mesyuarat Jawatankuasa Menteri NAM mengenai Palestin, pada Khamis.

“Adalah penting bagi kita, negara anggota NAM untuk memberikan sokongan dan solidariti yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dalam perjuangan sah mereka menentukan nasib sendiri.

“Ini selaras dengan asas dan prinsip Pergerakan kita mengenai hak untuk menentukan nasib sendiri, kemerdekaan kenegaraan dan kedaulatan,” katanya.

Beliau juga menggesa negara-negara NAM untuk menyokong sepenuhnya pelaksanaan Resolusi ES-10/24.

“Kita mesti mendesak pemberhentian perdagangan dengan individu dan entiti di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

“Kita mesti mendesak mendesak agar keseluruhan komuniti pendatang dikenakan sekatan. Kita mesti mendesak penghentian bekalan senjata dan peluru kepada Israel,” kata menteri itu.

Malaysia juga menyeru agar sokongan berterusan untuk penubuhan sebuah Negara Palestin yang bebas dan merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, serta kemasukannya sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), katanya.

Mengalu-alukan penerimaan Resolusi ES-10/24, Mohamad menyatakan bahawa ia “menggariskan tindakan konkrit susulan Pendapat Penasihat, untuk menamatkan pendudukan Israel.”

Resolusi itu menetapkan garis masa muktamad selama 12 bulan untuk Israel menamatkan penjajahan haramnya di OPT.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini