Tumpuan :
Nasional

Malaysia seru bantuan kemanusiaan segera disalurkan kepada rakyat Palestin

FOTO: Zahid Hamidi / Facebook

KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik pengumuman gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang dijangka bermula pada hujung minggu ini.

Sehubungan itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru supaya bantuan kemanusiaan segera disalurkan kepada rakyat Palestin yang kini menghadapi krisis bekalan makanan, air bersih, bahan api serta keperluan perubatan dan kesihatan.

Sebagai negara yang sentiasa mendukung perjuangan Palestin, Malaysia ujarnya tetap berpendirian tegas menentang sebarang bentuk pendudukan secara haram di Gaza.

“Kami juga menyokong sepenuhnya usaha pertukaran tahanan rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada proses pendamaian yang lebih luas.

“Kami juga berharap usaha restorasi pasca perang dapat dilaksanakan dengan berkesan untuk membantu lebih 2.3 juta penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik yang berpanjangan ini.

“Kita sebagai rakyat Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Palestin dan menyeru komuniti antarabangsa untuk memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan kestabilan dan keamanan di rantau ini,” katanya di laman sosial Facebook.

Gencatan senjata awal selama enam minggu itu yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, adalah hasil rundingan bersama Mesir dan Qatar.

Langkah itu merangkumi penarikan balik tentera Israel secara berperingkat serta pembebasan tebusan oleh Hamas dan dijangka berkuat kuasa pada hari Ahad ini.

Ia adalah satu permulaan ke arah menamatkan krisis yang telah berlangsung lebih 460 hari dan menghentikan pertumpahan darah yang tidak berkesudahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini