Tumpuan :
Nasional

Malaysia seru ASEAN rangka dasar pengangkutan menyeluruh – Fadillah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN yang ke-30 di ibu negara.

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Negara-negara ASEAN diseru untuk membangunkan kerangka dasar bagi memperkasakan industri pengangkutan seiring dengan perubahan semasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerangka itu seharusnya meliputi aspek kemampanan, transformasi digital serta penggunaan Kecerdasan Buatan (AI).

“Trend mega tidak boleh diabaikan dan kita perlu mula mereka bentuk rangka kerja dasar pengangkutan masa hadapan yang mampu tangani revolusi.

“Kerangka dasar itu juga harus meliputi aspek yang saling melengkapi komuniti di dalam negara-negara ASEAN,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN yang ke-30 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, industri pengangkutan katanya berpotensi untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi.

Perkara itu dapat dilihat menerusi projek RTS Link Johor Bahru-Singapura yang telah membawa kepada perubahan besar industri pengangkutan bahkan kepada integrasi ekonomi.

Ini katanya termasuk kerjasama jaringan pengangkutan darat melibatkan Thailand, Laos dan sehinggalah ke China.

“Sudah pasti ia (industri pengangkutan) akan bantu kembangkan ekonomi, apabila berkembang sudah pasti memerlukan pekerja.

“Apabila pekerjaan meningkat, sudah pasti limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya lagi.

“Saya kira kita dalam kedudukan yang baik untuk kukuhkan jaringan hubungan pengangkutan dalam kalangan negara ASEAN.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook serta Timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah.

Loading...
Terkini