Tumpuan :
Nasional

Malaysia segerakan usaha bina semula Gaza

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jepun mencapai kesepakatan untuk menyegerakan usaha membina semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) dengan menubuhkan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah yang terkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap kewujudan dana khas itu akan dapat mencapai misi dan matlamat yang dirancang.

“Atas usaha Kerajaan dan Menteri Luar, kita dah dapat kepastian supaya dapat disegerakan pelaksanaan program pembanguan semula Gaza dan Palestin atas usaha bersama Kerajaan Jepun dan Malaysia, yang berhasrat untuk menubuhkan dan melancarkan dana melalui kegiatan Asia Timur untuk membangunkan Gaza,” katanya dalam video ringkas di media sosial.

Justeru, Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin.

“Bagi pihak malaysia, dengan usaha ini, saya percaya bersama dengan rakyat dan kolaborasi bersama dengan sektor swasta, insya-Allah kita akan mulakan dengan pembinaan sebuah sekolah, sebuah rumah sakit dan sebuah masjid sebagai satu usaha dan pengorbanan masyarakat dan rakyat.”

“Mudah mudahan Allah SWT memelihara kita dan menjamin keselamatan Gaza dan Palestin,” katanya.

Gencatan senjata di Gaza diumumkan pada 19 Januari lalu, namun ia telah meragut lebih 46,000 nyawa dan menyebabkan lebih dua juta rakyat Palestin hilang tempat tinggal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini