Tumpuan :
Nasional

Malaysia sedia pimpin ASEAN dengan kejelasan dan keyakinan – PM

Perdana Menteri ketika berucap pada Persidangan China: Asia Tenggara 2025 di ibu negara, hari ini. FOTO: NSTP

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: ASEAN perlu bertindak segera, bersatu dan berani dalam menghadapi cabaran global demi memastikan masa depan yang makmur untuk semua.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kini bukan masanya untuk perubahan kecil atau pemikiran jangka pendek.

Katanya, ASEAN perlu membentuk kerjasama transformasi yang dapat membawa kemakmuran jangka panjang kepada rantau ini.

“Malaysia bersedia untuk memimpin ASEAN dengan kejelasan dan keyakinan. Namun, kepimpinan bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata.

“Sektor perniagaan, akademik, usahawan dan masyarakat sivil juga perlu memainkan peranan dalam membentuk masa depan yang inklusif, lestari dan berdaya tahan,” katanya ketika berucap pada Persidangan China: Asia Tenggara 2025 di ibu negara, hari ini.

Ujarnya, Malaysia komited untuk memperkukuh peranannya dalam ASEAN serta mempererat hubungan dengan China.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menggesa semua pihak untuk bersama merealisasikan visi masa depan yang berasaskan kepercayaan, inovasi dan aspirasi bersama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini