comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia sedang tunggu rayuan tambahan kuota haji – Mohd Na’im

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk, Dr Mohd Na’im Mokhtar pada sidang media ketika hadir Majlis Perasmian Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-41 musim Haji 1446H di Hotel Perdana di sini, hari ini. FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Malaysia sedang menunggu jawapan daripada kerajaan Arab Saudi mengenai rayuan tambahan kuota jemaah haji negara untuk musim hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, permohonan sudah dikemukakan kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah selepas pertemuannya bulan lalu.

“Sebaik habis sahaja operasi haji, sudah umumkan kuota jemaah haji negara iaitu 31,600, cuma kita buat rayuan.

“Jadi saya pun dah memberi surat kepada Doktor Tawfiq untuk mempertimbangkan bagi Malaysia diberikan tambahan (kuota jemaah haji) tapi belum lagi dapat jawapan.

“Itu kuasa menteri haji dan kerajaan Arab Saudi untuk menentukan tapi di pihak kita, sudah kemukakan permohonan untuk untuk tambahan kuota,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Beliau terdahulu hadir menyempurnakan perasmian Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) Kali Ke-41, Musim Haji 1446/2024M di sebuah hotel di sini, hari ini.

FOTO: NSTP

Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman.

Mohd Na’im berkata, MHPK sangat signifikan dalam membincangkan secara tuntas isu berbangkit dan perlu diberi keutamaan untuk diketengahkan dalam musim haji yang akan datang.

“Segala pandangan yang dikemukakan dalam muzakarah ini bukan sahaja penting kepada para jemaah haji negara tetapi juga seluruh umat Islam dalam memahami hikmah dan falsafah manasik (cara pelaksanaan) haji serta hukum-hakamnya.

“Saya difahamkan salah satu kertas kerja yang akan dibentang dan dibincangkan adalah berkaitan dengan adab dan akhlak di Masya’ir dan ia sangat penting sebagai menterjemahkan akhlak jemaah haji Malaysia selaras dengan tema Muzakarah haji kali ini.

“Saya berharap resolusi yang dikeluarkan akan menjadi panduan kepada pihak pengurusan TH bagi merangka strategi operasi haji akan datang dengan lebih baik dan efektif,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini