KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan penglibatan Malaysia sebagai rakan negara kumpulan BRICS tidak akan menjejaskan peranan negara dalam platfom lain.
Sebaliknya penyertaan Malaysia itu ujarnya, dapat menambah nilai dari pelbagai sudut terutamanya ekonomi.
“Jadi dalam BRICS, kita tidak mencairkan peranan kita dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Kumpulan G20 (G20) juga Malaysia jadi tetamu Kerajaan Brazil.
“Kita bersuara benda yang sama iaitu jurang antara negara maju dan Selatan Global adalah amat ketara sekali,” jelasnya.
Tambah Mohamad, penyertaan Malaysia itu juga dapat mengelakkan negara daripada bergantung kepada satu polisi semata-mata.
“Ia akan menambah luas bidang ekonomi kita, akan buka pasaran kita. Kita tak boleh bergantung pasaran tradisional, kalau apa-apa berlaku kita akan jatuh terduduk.
“Jadi kita kena lebarkan pasaran, kerana dalam geopolitik tidak menentu ketika ini, kita tidak boleh terus menerus bergantung pada satu sistem negara menjadi sekutu kita dan beli barangan kita. Tetapi kita perlu sebar luas dan perbanyakkan pasaran barangan kita,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berhubung kesan pembabitan Malaysia ke dalam BRICS di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut ujar Mohamad, Malaysia telah menerima surat rasmi sebagai rakan negara BRICS dan beliau telah mengutuskan surat terima kasih kepada rakan sejawatannya di Rusia dalam masa terdekat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.