Tumpuan :
Nasional

Malaysia satu-satunya negara ziarah bilik ke bilik jemaah haji

Oleh: Azri Mukhlas

MAKKAH: Malaysia satu-satunya negara yang menjalankan aktiviti ziarah kesihatan dari bilik ke bilik jemaah haji sewaktu musim haji 1444 hijrah ini.

 

Penyelaras Operasi Unit Kesihatan Awam Tabung Haji, Dr Fatihah Oh Abdullah berkata, ia bertujuan memberi pendidikan kesihatan awam selain pencegahan penyakit berjangkit dalam kalangan jemaah haji.

Menurut Dr Fatihah, program ziarah ini juga bertujuan mengesan lebih awal keadaan kesihatan jemaah sebelum ia menjadi lebih kritikal.

Penyelaras Operasi Unit Kesihatan Awam Tabung Haji, Dr Fatihah Oh Abdullah

“Kita juga bertanyakan khabar, beri pendidikan kesihatan dan kenal pasti jika ada mereka ada masalah kesihatan akan dirujuk ke klinik ataupun pakar yang berkenaan.

“Seperti mana yang kita maklum, saban tahun ada penyakit-penyakit seperti sistem pernafasan, strok haba…jadi ziarah ini boleh sampaikan maklumat pencegahan kepada jemaah,” katanya kepada media Malaysia di sini pada Sabtu.

Tambah beliau, ia bagi memastikan kesemua jemaah haji benar-benar sihat menjelang Hari Wukuf yang dijangka jatuh pada 27 Jun ini.

“Kita pernah jumpa kes warga emas, bila kita dah meningkat usia, mungkin deria kita dari segi haus dan sebagainya memang akan berkurang, golongan ini tidak sedar mereka telah mengalami dehidrasi, bila unit kita masuk bilik ke bilik, kita boleh kenal pasti yang warga emas ini telah kekurangan air dan kita boleh rujuk ke klinik untuk rawatan”.

Selain kesihatan fizikal, kesihatan mental jemaah juga menjadi keutamaan unit ziarah kesihatan ini.

Menurut Dr Fatihah, sehingga kini mereka telah menziarahi 12,671 jemaah di 2,551 buah bilik.

Hasilnya 175 orang jemaah didapati mengalami masalah kesihatan dan kesemua mereka telah dirujuk ke pakar perubatan.

Loading...
Terkini