KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik keputusan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) semalam dan akan terus mantau perkembangan di Semenanjung Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata walaupun keputusan itu tidak memihak sepenuhnya kepada penduduk Palestin tetapi ada pendirian yang jelas daripada ICJ mengenai perkembangan di wilayah itu.
“Sekurang-kurangnya jelas pendirian ICJ mengutuk serangan dan mendesak dihentikan serangan dan disegerakan bantuan kemanusiaan,” katanya kepada media selepas merasmikan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian mengulas keputusan ICJ semalam supaya Israel bertanggungjawab atas kekejaman, jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan ke atas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Anwar berkata, Malaysia akan terus memantau dan melakukan apa saja seperti yang disuarakan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Malaysia dalam debat terbuka itu turut mengulangi gesaan agar Palestin diterima sebagai Negara Anggota PBB dan diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya.