Tumpuan :
Nasional

Malaysia sambut baik diterima negara rakan BRICS

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia menyambut baik penerimaan sebagai antara negara rakan dalam BRICS, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.

Menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, pemilihan itu akan membuka peluang Malaysia meningkatkan perdagangan dan hubungan dua hala dengan kalangan negara dalam blok itu.

“Kita tidak bincang secara khusus (dalam mesyuarat Jemaah Menteri). Ini adalah pemakluman awal dan belum lagi dibincangkan secara mendalam.

“Tapi semestinya kita mengalu-alukan penerimaan Malaysia sebagai sebahagian daripada negara rakan dalam konteks BRICS,” katanya pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan, Malaysia kini diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara rakan yang ditambah secara rasmi dalam BRICS, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu per lima kepada perdagangan global.

Selain Malaysia, 12 negara lain adalah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Pada 28 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Malaysia telah mengemukakan permohonan kepada Rusia untuk menyertai pertubuhan antara kerajaan BRICS.

Rusia kini mempengerusikan blok itu, yang turut merangkumi Brazil, India, China dan Afrika Selatan.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mengambil maklum semua pandangan dan kebimbangan berhubung cadangan kenaikan gaji minimum serta peningkatan sumbangan wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Sudah pasti beliau akan mengambil kira (semua pandangan serta kebimbangan) dan kita tunggu sebarang keputusan sewaktu penggulungan nanti, insya-Allah oleh pihak Kementerian Kewangan,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) menyuarakan kebimbangan berhubung cadangan kenaikan gaji minimum serta peningkatan sumbangan wajib KWSP yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu.

Menurut persatuan berkenaan, langkah itu mungkin memberikan tekanan kewangan yang tidak mampu ditanggung oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama pada saat perniagaan kecil masih dalam proses pemulihan selepas pandemik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini