BALING: Pengeluaran hasil getah negara perlu dipertingkat bagi memenuhi keperluan industri selepas komoditi itu menjadi nadi pembangunan ekonomi Malaysia sejak 100 tahun lalu.
Menteri Komoditi dan Perladangan Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha mengoptimumkan penggunaan 1.1 juta hektar ladang getah di seluruh negara perlu dibuat bagi membolehkan negara kembali menjadi antara pengeluar getah asli utama.
Kata beliau, sekiranya usaha itu dapat dicapai, ia dapat mengurangkan kos import bahan asli itu yang mencecah RM6 bilion.
“Kita pernah menjadi pengeluar getah terbesar dunia dengan menghasilkan satu juta tan getah, tetapi sekarang hanya 380,000 tan dikeluarkan. Jadi negara terpaksa mengimport getah untuk menampung keperluan dalam negara dengan nilai RM6 bilion.
“Di negara ini, terdapat 1.1 juta hektar ladang getah tetapi 420,000 hektar daripadanya berada dalam keadaan terbiar…kita mahu ladang getah terbiar ini ditoreh semula untuk meningkatkan penghasilan getah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Getah Asil Mampan Malaysia (MSNR) di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, di sini, hari ini.
Johari berkata, pihaknya sudah mengarahkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk bertemu dengan pekebun dan peladang getah yang memiliki ladang getah terbiar bagi memulakan semula penorehan.
Kata beliau, Kementerian Komoditi dan Perladangan (KPK) dan LGM dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan mencari jalan untuk mengusahakan semula ladang getah terbiar dengan persetujuan mereka.
“Apabila kita tanya, mereka memberi alasan terlalu uzur untuk menoreh, kos tinggi untuk menjaga ladang dan harga getah murah.
“Kalau mereka setuju untuk kerjasama dengan kita, kita akan mengupah pekerja untuk menoreh pokok getah di ladang mereka untuk meningkatkan hasil dan mereka akan menerima sebahagian keuntungan,” katanya.
Sementara itu, Johari berkata, penguatkuasaan MSNR akan bermula pada 1 Januari 2025 dan pemegang lesen serta permit Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan dikenakan syarat iaitu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mendapatkan pengiktirafan MSNR daripada agensi berkenaan.
Kata beliau, MSNR memberi fokus kepada lima prinsip utama kemampanan iaitu tiada penyahhutanan untuk penanaman getah, penanaman getah berpandukan Kanun Tanah Negara, kemampanan alam sekitar, pematuhan sosial dan kebolehkesanan rantaian bekalan.
“Antara isu utama yang dihadapi di dalam industri getah di peringkat global adalah kekurangan elemen kebolehkesanan bahan mentah. Bagaimanapun, LGM sudah mempunyai sistem kebolehkesanan yang komprehensif di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran yang bakal melonjakkan Malaysia sebagai peneraju dalam penghasilan getah asli dan produk getah mampan dunia,” katanya.
Untuk rekod, nilai eksport produk getah Malaysia ke seluruh dunia tahun lalu mencecah lebih RM37 bilion dengan RM3.2 bilion dieksport ke pasaran Eropah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.