
Oleh: Fareez Azman
PUTRAJAYA: Malaysia perlu mengambil peluang meningkatkan kecekapan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan seperti negara maju lain.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, usaha itu penting dalam memastikan pembangunan serta peralihan tenaga yang mampan dapat dicapai di negara ini.
“Negara-negara (seperti) negara Cina, Jepun, Amerika, Eropah sekarang berlumba-lumba mengangkat keupayaan teknologi, artificial intelligence (AI) dan pendigitalan.
“Mereka berbicara tentang bagaimana negara boleh berubah cepat dengan transisi tenaga dan tidak boleh bergantung kepada tenaga lama,”jelasnya.
Mengulas lanjut ujar Anwar, agenda itu boleh dicapai melibatkan tanggungjawab semua pihak terutama kerajaan, swasta dan rakyat.
Pada masa sama jelasnya, isu remeh seharusnya tidak menjadi fokus sebaliknya tumpuan diberikan kepada perkara lebih besar.
“Kita riuh rendah tentang hal-hal yang remeh dan bergaduh. Sebab itulah tanggungjawab kita semua, termasuk swasta, syarikatnya, holding, jabatan kerajaan harus tumpu.
“Pertama, tingkat kecekapan kita, beri khidmat yang lebih baik dan hentikanlah hanya amalan guna kesempatan, kayakan diri, kayakan keluarga dengan cara yang terang,” tegasnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Beli Belah Alamanda Berwajah Baharu di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.