Oleh: Afrina Romzi
BEIJING: Malaysia komited menjalankan penglibatan kolaboratif sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam usaha membantu keamanan di Myanmar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penglibatan ini adalah dengan kerjasama sesama negara anggota ASEAN, rakan dialog utama dan organisasi antarabangsa.
“Kepusatan ASEAN hanya boleh dikekalkan jika Asia Tenggara bersatu. Malaysia mengiktiraf perkara ini (kepusatan ASEAN) dan sebagai pengerusi, kami akan bekerja untuk mengukuhkan perpaduan ASEAN,
memastikan semua suara didengari dan mengutamakan keputusan kolektif.
“Dalam hal ini, kami memohon sokongan semua pihak rakan dialog, sama ada dekat atau jauh, besar atau kecil untuk membantu memastikan ASEAN bersatu dan kukuh,” katanya ketika memberi syarahan bertajuk ‘Memperkukuh Masa Hadapan: Malaysia-China dan Kepusatan ASEAN dalam Peralihan Perintah Global’ di Universiti Peking, hari ini.
Tambah beliau, kepusatan ASEAN adalah asas yang membolehkan interaksi konstruktif, dengan kuasa global, di samping mengekalkan kemerdekaan dan menggalakkan kestabilan serantau.
“Kepusatan bermaksud tiada negara, tidak kira betapa besar, harus menentukan apa negara lain patut atau tidak patut lakukan, atau bagaimana ia mesti atau tidak mesti bertindak.
“Kepusatan juga bermakna bahawa tiada ahli harus mewujudkan kartel yang mementingkan diri sendiri yang hanya berfungsi untuk mengekalkan kepentingan ahli mereka yang memberi kesan kepda orang lain.
Jelas beliau, ketika Malaysia bersedia untuk memikul peranan Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia amat menyedari tanggungjawab yang bakal dipikul.
ASEAN telah berkembang menjadi wilayah dengan 671 juta penduduk jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$3.8 trilion, menjadikannya ekonomi kelima terbesar di dunia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.