comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia perjuang Isu Palestin di pentas Antarabangsa

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperjuangkan hak rakyat Palestin di pentas antarabangsa, termasuk mendesak pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dan penyingkiran Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendirian tegas ini disuarakan beliau semasa menghadiri tiga sidang kemuncak antarabangsa baru-baru ini.

“Pada Sidang Kemuncak G20 di Brazil, Malaysia mendesak agar PBB direformasi dan sistem tata kelola global diperbaharui, termasuk pengembangan kuasa veto kepada wilayah seperti Amerika Latin dan Afrika Selatan,” katanya ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Anwar turut menegaskan bahawa PBB perlu bertanggungjawab terhadap pelanggaran ketetapannya sendiri, terutama membiarkan rejim Zionis terus menindas rakyat Palestin.

Selain membentangkan isu ini di Sidang Kemuncak G20, Anwar berkata beliau turut membincangkan reformasi PBB bersama Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.

Anwar turut membawa isu penindasan Palestin ke Sidang Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di Peru, meskipun forum itu lebih tertumpu kepada ekonomi dan perdagangan.

“Malaysia menjadi satu-satunya negara yang mengangkat isu Palestin di forum APEC, malah kita secara tegas mengusulkan agar dunia mempertimbangkan penyingkiran Israel dari keanggotaan PBB,” katanya.

Di Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi, Malaysia sekali lagi menekankan kezaliman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

“Di hadapan Presiden Joe Biden, Presiden Xi Jinping, dan pemimpin-pemimpin lain, kita membawa isu Gaza dan menuntut tindakan lebih tegas terhadap Israel,” katanya.

Malaysia, kata Anwar, komited untuk memastikan hak Palestin terus diperjuangkan dan tidak akan berkompromi dalam menentang kezaliman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini