comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia-Perancis bincang keperluan gencatan senjata segera di Gaza

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam mesyuarat dua hala di sela-sela Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20). FOTO: Ihsan PMO

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

RIO DE JANEIRO: Malaysia dan Perancis membincangkan isu genosid yang berlaku di Palestin yang memerlukan gencatan senjata segera.

Perkara itu disentuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam mesyuarat dua hala di sela-sela Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).

“Kami berdua juga sempat membincangkan perihal genosid yang berlaku di Palestin yang mana ia memerlukan gencatan senjata sesegera mungkin dan kerjasama semua pihak untuk menamatkan penderitaan rakyat di sana,” katanya.

Selain itu, kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.

Ia meliputi bidang perdagangan, pelaburan, pelancongan dan pertahanan serta kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

“Kami turut membincangkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 yang mana saya nyatakan penghargaan kepada Presiden Macron atas dukungan menerusi Kerjasama Pembangunan ASEAN-Perancis,” katanya.

Anwar ketika ini mengadakan lawatan sulung ke Brazil antara lain bagi pertemuan dua hala dengan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva dan menghadiri Sidang Kemuncak G20 atas kapasiti negara tetamu.

Semalam, dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan Perdana Menteri bersama Lula, Malaysia dan Brazil menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata segera dan kekal terhadap konflik yang sedang berlaku di Gaza.

Kedua-dua pemimpin turut menuntut Israel memastikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di wilayah bergolak yang diduduki dapat disalurkan tanpa sekatan.

“Kedua-dua pemimpin juga sekali lagi menegaskan sokongan mereka terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas dan berdaulat, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, mengikut sempadan pra-1967, serta keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” menurut kenyataan itu.

Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan jumlah kematian penduduk Palestin mencecah 43,846 orang dan majoriti yang terkorban adalah orang awam, setakat semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini