Oleh: Hilmi Abdul Malik
PUTRAJAYA: Malaysia dilihat sebagai negara paling aman di dunia dalam kalangan negara ASEAN termasuk aspek pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dizahirkan menerusi beberapa pemimpin susulan lawatan beliau ke beberapa negara baru-baru ini.
Ujar Datuk Seri Anwar, perbezaan warna kulit dan latar belakang agama menjadikan Malaysia sebagai negara yang rumit dijaga namun semangat kesatuan berjaya memecahkan kebuntuan itu.
“Orang luar meneropong Malaysia, dia cakap ini antara negara paling rumit dijaga, banyak ragam, pelbagai warna kulit, tapi ada semangat kesatuan dan aman.
“Dan ini juga rantau Malaysia dan ASEAN yang dianggap paling pantas kelajuan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Festival Idea Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut membidas sesetengah pihak yang mempunyai pemikiran dangkal yang menjurus kepada sentimen perkauman sempit.
Situasi itu katanya boleh dilihat menerusi sikap sesetengah individu yang mula berasa tercabar terutamanya apabila melihat poster yang menggunakan bahasa tertentu.
Isu seumpama itu sering kali dijadikan bahan yang mewujudkan sentimen perkauman berikutan wujud mentaliti yang mendakwa hak sesetengah bangsa dinafikan.
“Pergi ke negeri-negeri akan kata hak rakyat Sabah terhakis, ini semua sentimen yang boleh menarik orang tapi tugas anak muda ialah untuk mendapat pencerahan cara kritis, kebenaran tentang kenyataannya, mendengar dari semua pihhak dan mencari jalan penyelesaiannya.
“Kalau tidak, seperti kita tahu dia guna sentimen perkauaman yang kononnya kebebasan dan nasionalisme. Dia bukan yakin dengan patriotisme, tetapi guna sentimen untuk membakar semangat membenci orang,” katanya lagi.
Negara kata Perdana Menteri perlu menyemai semangat kasih sayang dan bukannya saling menjatuhkan sesama lain termasuk tindakan mencerca dan menghina.
Jelasnya, tidak wujud sebarang agama mahupun fahaman yang ingin mempromosikan sifat yang membawa kepada unsur kerosakan.
“Kita tak mahu orang lemah, rosak, rasuah, melakukan kecurangan tapi kita seru dengan semangat kasih sayang, bukan mencari kelemahan, mengada-adakan apa yang tidak ada, fitnah saban hari di media sosial.
“Tidak pernah ada satu fahaman atau ideologi, agama atau nilai yang mempertahankan untuk kerosakan, menghina, mencaci dan memfitnah,” jelasnya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.