Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Malaysia optimis Sesi Khas Tergempar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) akan menerima usul untuk menghentikan perang Israel-Palestin dan menghantar bantuan kemanusiaan segera di Semenanjung Gaza.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada sokongan lebih 100 negara yang menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian membentangkan kenyataan mereka berhubung isu itu.
“Tindakan yang cuba memekak telinga dan membutakan mata dari kuasa besar terhadap kekejaman yang dilakukan di luar batas kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa akan terus mendesak dan Malaysia akan terus main peranan bersama negara lain yang sependapat dalam usaha ini.
“Usaha ini bukan melibatkan negara Islam sahaja, banyak negara bukan Islam lain ada pendirian tegas tentang rejim zalim,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Sumbangan Perkhidmatan Awam kepada Palestin peringkat Kementerian Luar, di sini hari ini.
Isnin lalu, Presiden UNGA, Dennis Francies mengumumkan bahawa beliau akan mengadakan satu sesi khas tergempar pada 26 Oktober (semalam) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York, Amerika Syarikat (AS) sebagai respon kepada permintaan dari Jordan dan negara-negara lain berhubung dengan konflik berterusan antara Palestin dan Israel.
Sesi khas tergempar boleh dipanggil dalam tempoh 24 jam jika diminta oleh Majlis Keselamatan atau majoriti ahli PBB.
Malaysia diwakili Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Dr Ahmad Faisal Muhammad.
Mengulas lanjut, menurut Zambry, sesi khas tergempar tersebut menunjukkan perkembangan positif berbanding Majlis Keselamatan PBB (UNSC) kerana sebelum ini terdapat kuasa tertentu khususnya AS menggunakan kuasa veto menolak resolusi berhubung konflik Israel-Palestin.
Dalam UNGA, tiada negara yang memegang kuasa veto, walaupun resolusi dikemukakan tidak mengikat, ia masih membawa kesan secara politik.
Sementara itu, ditanya sekiranya keputusan tidak memihak kepada usul berkenaan, Zambry meminta semua pihak tidak berasa kecewa, namun perlu mengambil pendekatan lain untuk menoktahkan krisis kemanusiaan di Gaza yang semakin meruncing ekoran peperangan terbabit.
“Saya harap tekanan terus diberikan kerana tidak boleh biarkan rejim bermaharajalela melakukan (kezaliman) mengikut cita rasa tanpa ada rasa perikemanusiaan atas hujah apa yang mereka lakukan hari ini sebagai contoh mereka mengatakan hak mempertahankan diri. Dia perlu ikut peraturan antarabangsa tapi itu tidak diikuti langsung berbanding jumlah menjadi mangsa serangan yang dilakukan mereka, itu agak berbeza sekali,” katanya.
Setakat ini, Kementerian Kesihatan di Gaza dilaporkan berkata, angka kematian rakyat Palestin akibat serangan udara tentera penceroboh Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu meningkat kepada 7,028 orang.
Sejumlah 2.3 juta penduduk kehabisan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api, dan konvoi bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza hanya dapat membawa sebahagian kecil bantuan kemanusiaan yang diperlukan.