comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia nyata desakan, tuntut negara bersekutu henti beri bantuan kepada Israel

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ditemui media selepas mengiringi Perdana Menteri dalam pertemuan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 dan Sidang-Sidang Berkaitan.

Oleh: Syafiqah Damanhuri

VIENTIANE: Malaysia tegas menyatakan desakan untuk negara-negara bersekutu yang membekalkan senjata dan segala bantuan kepada Israel menghentikan tindakan itu dengan segera.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tuntutan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken untuk menghentikan penderitaan rakyat Palestin selepas diperlaku dengan kejam rejim Zionis.

“Jadi, mereka tahulah (sikap) negara Israel yang begitu angkuh dan sombong, tidak mahu dengar cakap sesiapa pun.

“Kita berharap supaya negara-negara sekutu yang membekalkan senjata dan segala bantuan kepada Israel, sekarang memahami sifat sebenar negara Israel.

“Merekalah yang “membesarkan” raksasa ini, jadi you should look after your own monster.” Katanya ketika ditemui media selepas mengiringi Perdana Menteri dalam pertemuan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 dan Sidang-Sidang Berkaitan, di sini.

Bagaimanapun menurut Mohamad, AS masih berharap agar peperangan dapat dihentikan dan tidak merebak ke kawasan-kawasan lain biarpun mereka tidak memiliki jawapan yang konkrit berhubung bila kekejaman itu dapat dinoktahkan.

“Kami mengemukakan pertanyaan bila masalah dan pembunuhan rakyat Palestin yang dah merebak Lubnan ini boleh diredakan dan dihentikan?

“Tetapi nampaknya tiada jawapan yang konkrit yang boleh diberikan pihak Blinken dan beliau mengatakan semua pihak termasuk AS mahu lihat peperangan ini tidak merebak dan dihentikan segera,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini