KUALA LUMPUR: Malaysia telah mengemukakan permohonan tambahan kuota haji dan akan dipertimbangan dengan sewajarnya oleh Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa permohonan itu dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dalam pertemuan bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfig Fawzan Al-Rabiah di Jeddah, baru-baru ini.
Pertemuan tersebut diadakan sempena Simposium dan Pameran Haji 1446H anjuran kerajaan Arab Saudi dari 13 hingga 16 Januari di Superdome, Jeddah, yang menghimpunkan pengendali operasi haji dan umrah dari seluruh dunia.
“Para delegasi turut berkesempatan berjumpa dengan beberapa wakil pengendali dan pejabat urusan haji dari beberapa negara bagi bertukar pandangan serta perkongsian ilmu dalam menambah baik penyampaian perkhidmatan pengurusan haji negara,” menurut kenyataan itu.
Selain permohonan kuota tambahan, Malaysia juga menandatangani Memorandum Urusan Haji bersama kerajaan Arab Saudi bagi memperkukuh lagi kerjasama dalam aspek pengurusan jemaah haji untuk musim 1446H/2025M.
Ia turut melibatkan jumlah kuota haji rasmi negara sebanyak 31,600 orang bagi musim 1446H/2025M, selain persetujuan Malaysia untuk mematuhi garis panduan berkaitan ketibaan dan pergerakan pulang melalui lapangan terbang Madinah dan Jeddah.
Mohd Naim berkata memorandum ini menjadi bukti komitmen kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada para bakal dhuyufurrahman khusus untuk musim haji kali ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.