![](https://media.buletintv3.my/2025/02/TS3580UR-ANWAR.jpg)
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Mesir senada menolak usaha menghalau rakyat Palestin dari Gaza.
Perdana Manteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu disuarakan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi ketika beliau menghubungi pemimpin itu hari ini.
“Saya menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi hari ini dan perbincangan kami menyentuh perkembangan terkini isu kemanusiaan dan usaha pembangunan semula Gaza.
“Alhamdulillah saya dan Presiden El-Sisi senada dalam pendirian menolak usaha ‘menghalau’ rakyat Palestin keluar dari bumi Gaza.
“Langkah ini bakal memberi dampak buruk terhadap usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan AS akan ‘mengambil alih’ Semenanjung Gaza dan membangunkannya semula, tidak lama selepas mencadangkan penempatan semula penduduk Palestin secara kekal di luar wilayah itu.
Cadangan kontroversi Trump itu mendapat kecaman meluas, dengan banyak pihak menyifatkannya sebagai pembersihan etnik dan jenayah perang.
Anwar turut mengulangi pendirian Malaysia untuk terus membantu rakyat Palestin terutama membabitkan bantuan kemanusian, perubatan dan pembangunan semula Gaza.
Selain tegas untuk kekal menyokong perjuangan menuntut keadilan buat Palestin.
“Saya turut zahirkan penghargaan terhadap pendirian Presiden El-Sisi dan Kerajaan Mesir yang terus menghulurkan bantuan dan mempermudahkan usaha Malaysia menyampaikan sumbangan dan perubatan terhadap rakyat Palestin yang terkesan dengan serangan serta kekejaman genosid rejim Zionis Israel.
“Presiden El-Sisi turut menyatakan sokongan terhadap usaha digerakkan Jepun dan Malaysia untuk membangunkan semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama Asia Timur Untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
“Gerakan membantu Palestin pasti lebih berkesan sekiranya lebih banyak negara bersolidariti dan bersama-sama dalam usaha ini,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkam, beliau dan El-Sisi turut membicarakan soal hubungan dua hala Malaysia-Mesir.
“Kami sekali lagi mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan kebudayaan kedua-dua negara,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.