Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Malaysia – Mesir setuju berperanan lebih proaktif dan tegas untuk hentikan keganasan


Oleh: Azwaliza Azman

KAHERAH: Malaysia dan Mesir bersetuju untuk memainkan peranan yang lebih proaktif dan tegas dalam memastikan keganasan dihentikan dan nyawa diselamatkan serta keadilan sejagat ditegakkan.

Pendirian itu dicapai dalam pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al-Ittihadiya di Kaherah, Mesir.

Datuk Seri Anwar melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Mesir kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan.

Kedua-dua pemimpin membincangkan situasi di Palestin yang mana Malaysia menyanjung usaha Mesir bersama Qatar dan Amerika Syarikat yang bertindak selaku perantara dalam menoktahkan penindasan oleh rejim zionis Israel.

Selain menyentuh situasi yang kian meruncing di Lubnan, yang berkemungkinan mengakibatkan konflik yang lebih meluas di asia barat.

Turut dibincangkan pelbagai perkara dalam usaha memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara.

Hubungan berkenaan meliputi soal kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan, minyak sawit, industri halal, pendidikan, pelancongan, kesihatan serta sumber asli dan tenaga boleh baharu.

Perbincangan turut menyentuh soal BRICS yang mana Malaysia menghargai usaha Mesir dalam menyokong penyertaan negara sebagai rakan kerjasama.

Kedua-dua pemimpin berharap hubungan Malaysia dan Mesir mesti terus mekar dan diperkuat demi manfaat rakyat kedua-dua negara selain hubungan diplomatik selama 65 tahun terus diperkukuhkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini