comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia – Mesir sepakat tingkatkan hubungan 2 hala ke tahap perkongsian strategik

Oleh: Azwaliza Azman

KAHERAH: Malaysia dan Mesir sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap perkongsian strategik dalam waktu terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara juga komited untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang demi kepentingan dan manfaat bersama.

“Untuk mencapai matlamat ini, Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Suruhanjaya Bersama dan Perundingan Dua Hala pada 2025,” katanya dalam sidang media bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi selepas pertemuan dua hala antara kedua-dua pemimpin di Istana Al-Ittihadiya di sini, hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Mesir itu sempena lawatan rasmi empat hari, memperkukuh hubungan diplomatik kedua-dua negara yang genap memasuki 65 tahun hari ini.

Kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata sebelum perbincangan dua hala.

Menurut Datuk Seri Anwar, beliau dan Presiden Mesir juga bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, hal ehwal budaya, pertahanan dan keselamatan, agro-komoditi, serta pelancongan.

Mesir merupakan rakan dagang ke-5 terbesar Malaysia di antara negara Afrika pada 2023 dengan nilai dagangan bernilai RM3.35 bilion, yang mana imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia.

Jumlah itu dijangka terus meningkat bagi tahun ini, berikutan nilai dagangan yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga September lalu telah mencecah RM3 bilion.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini