Tumpuan :
Nasional

Malaysia, Mesir mahu negara Barat desak Israel henti serang Gaza

FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

KAHERAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, sepakat bahawa negara Barat perlu memberi tekanan kepada rejim Israel untuk memberhentikan serangannya ke atas Gaza.

Anwar berkata, dalam kunjungan hormatnya kepada Presiden Mesir itu, beliau dan El-Sisi juga sepakat bahawa kemudahan awam di Gaza seperti sekolah dan hospital, tidak sepatutnya dibedil serta dirosakkan pihak rejim Israel itu.

“Kesengsaraan dialami masyarakat Gaza sudah di tahap sangat parah. Jadi itu yang kita sepakati tadi hasil daripada perbincangan (dengan El-Sisi),” katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang media pada akhir lawatan kerja dua harinya ke Mesir hari ini.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Mesir juga pada masa ini, sedang berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan penyaluran bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Gaza dan Malaysia akan bekerjasama serta menyokong langkah yang diambil Mesir itu.

Anwar berkata, Malaysia juga akan terus berusaha menghubungi negara Barat dan Timur, untuk menggesa mereka melakukan sesuatu bagi membawa keamanan serta bantuan kemanusiaan di kawasan bergolak itu.

“Matlamat yang jelas iaitu mempertahankan hak dan kedaulatan negara Palestin. Kalau ini tidak tercapai, penyelesaian dan kedamaian tidak akan kekal. Ini pendirian rakan kita termasuk Mesir dan semalam di Turkiye dan sebelum itu di Riyadh, itu pandangan kita bersama,” katanya.

Anwar juga menyatakan terima kasihnya kepada El-Sisi, kerana memberi ruang kepadanya mengadakan pertemuan, meskipun notis pertemuan diberikan kepada Presiden Mesir itu, amat singkat.
Sementara itu, Anwar berkata, walaupun fokus perbincangannya dengan El-Sisi pada pertemuan itu tertumpu kepada isu Gaza, namun beberapa perkara termasuk masalah serantau dan masa depan negara Arab dan dunia Islam, turut dibincangkan.

Beliau berkata, antara perkara berkenaan termasuk kerjasama dua hala perdagangan dan perusahaan pelaburan antara kedua-dua negara.

“Saya sudah minta Menteri Luar dengan jawatankuasa (yang akan dibentuk kelak), untuk mengenal pasti hal kerjasama yang boleh kita tingkatkan,” katanya.

Anwar juga mengumumkan Presiden Mesir itu bersetuju membuat kunjung rasmi ke Malaysia, pada awal tahun depan.

Beliau berkata, lawatan rasmi yang akan dilakukan El-Sisi itu amat baik kerana sudah berpuluh tahun Presiden Mesir tidak membuat kunjungan seumpama itu ke Malaysia. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini