Tumpuan :
Nasional

Malaysia manfaatkan Kepengerusian ASEAN 2025 percepat proses keanggotaan penuh Timor-Leste

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia menyatakan sokongan penuh keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN dan akan menggunakan pentas itu ketika Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada tahun depan untuk mempercepatkan proses keahlian.

Perkara itu dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan bersama rakan sejawatnya dari Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao.

Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Anwar menekankan komitmen Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan negara anggota dan rakan dialog ASEAN untuk mempercepatkan proses penyertaan Timor-Leste.

“Kami (Malaysia) menantikan penyertaan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN. Pada tahun depan, apabila kami mempengerusikan ASEAN dan kami akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk membantu (keahlian) Timor-Leste supaya proses itu dapat dipermudahkan dan dipercepatkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia percaya bahawa keahlian Timor-Leste akan mengukuhkan matlamat strategik ASEAN dengan menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau.

Untuk rekod, Timor-Leste setakat ini telah diberikan status pemerhati rasmi dan menerima kelulusan dari segi prinsip untuk menjadi anggota ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Kemboja pada 2022.

Negara itu menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keahlian pada 4 Mac 2011.

Xanana Gusmao dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia iaitu kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada 1 Julai tahun lalu.

Sementara itu, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan penyertaan awal Timor-Leste kepada instrumen dan perjanjian undang-undang ASEAN sebagai sebahagian daripada keahlian penuhnya, seperti yang ditetapkan dalam Pelan Hala Tuju untuk Keahlian Penuh Timor-Leste dalam kumpulan serantau itu.

Pada masa sama, Xanana Gusmao berterima kasih atas komitmen dan sokongan berterusan Malaysia serta Anwar untuk membantu dalam penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN.

“Perkongsian antara kedua-dua negara mencerminkan kekuatan kerjasama dan keinginan bersama kita untuk keamanan, kestabilan dan pembangunan di rantau ini,” katanya.

Ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini terdiri daripada 10 negara anggota: Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura, dan Vietnam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini