Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat memperkukuh kelebihan kedudukan geografi strategiknya sebagai hab utama bagi sektor elektrik, bakat, dan kepelbagaian rantaian bekalan pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut memberi tumpuan memperhalusi kepakaran merangkumi sektor minyak dan gas, semikonduktor, serta kewangan Islam.
“Kita berpotensi menjadi peneraju pasaran global dalam setiap bidang ini. Pendekatan berkecuali dan keterbukaan terhadap perkongsian menjadikan Malaysia pilihan ideal sebagai hab ekonomi,” katanya ketika berucap di Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini merupakan peluang yang tepat, selari dengan keadaan Asia yang kini menjadi pusat ekonomi global.
“ASEAN diunjurkan menjadi blok ekonomi keempat terbesar di dunia. Sebahagian besar pertumbuhan global akan datang daripada gabungan ASEAN, India, dan China,” jelasnya.
Selain itu, Perdana Menteri turut memberi jaminan situasi itu bakal mencetuskan pertumbuhan kelas pertengahan yang lebih pesat, sekali gus memperkukuh naratif ekonomi serantau.
“Asas makroekonomi yang kukuh amat penting untuk memastikan pertumbuhan mampan. Ini akan membolehkan hasil negara ditingkatkan, memperluas ruang fiskal, dan seterusnya menyokong pelaburan lebih besar dalam pendidikan, penjagaan kesihatan, dan mobiliti sosial,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.