KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada landasan dan kedudukan strategik untuk menjadi salah satu pengeluar bahan api penerbangan mampan (SAF) utama dunia.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata bagi mencapai matlamat itu, kerajaan kini sedang berusaha membangunkan dokumen ‘National Strategy for Sustainable Aviation Fuel’ bagi menyokong perkembangan industri pengeluaran dan penggunaan SAF negara.
Katanya, kerajaan juga akan mempertingkatkan pelaksanaan program kesedaran pengumpulan minyak masak terpakai di seluruh negara dan bekerjasama bersama PETRONAS.
“Program kesedaran ini amat penting dalam memastikan industri pengeluar memperoleh bahan mentah yang mencukupi bagi penghasilan SAF dalam negara,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung sasaran dan strategi kerajaan bagi memposisikan Malaysia sebagai pengeluar utama SAF serantau.
Tambahnya, kerajaan juga menggalakkan pelabur untuk datang ke Malaysia bagi membina kilang-kilang SAF.
Setakat ini katanya, terdapat satu syarikat sudah dikeluarkan lesen iaitu kepada EcoCeres Renewable Fuels Sdn Bhd yang akan membina 350,000 metrik tan SAF setahun di Tanjung Langsat di Pasir Gudang, Johor.
“Kedua, PETRONAS sedang menjalankan beberapa kajian dan akan membina kilang SAF seluas 650,000 metrik tan di Pengerang, Johor,” katanya.
Strategi seterusnya, jelas Johari adalah mempertimbangkan insentif cukai untuk menggalakkan pelabur datang dan menggunakan Malaysia sebagai hab untuk membina SAF.
“Malaysia dijangka mula mengeluarkan SAF secara mampan bermula 2027.
“Kapasiti pengeluaran akan ditingkatkan secara berperingkat berdasarkan kapasiti kilang pengeluar dan ketersediaan bahan mentah seiring dengan agenda Malaysia untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar SAF di Asia Tenggara,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.