comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia mampu jadi ‘Harimau Digital Asia’- Nie Ching

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

CYBERJAYA: Malaysia mampu menjadi ‘Harimau Digital Asia’ dengan pelaburan besar dan kerjasama bersama syarikat terkemuka, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.

Keyakinan itu bersandarkan kepantasan negara menjadi hab pusat data serantau dan destinasi pelaburan menarik hasil peningkatan perbelanjaan infrastruktur digital termasuk stesen pendaratan kabel, lebih banyak kabel bawah air, 5G dan sambungan gentian yang lebih baik.

“Malaysia adalah destinasi pelaburan utama untuk data pelaburan pusat pada tahun lalu dengan penggunaan 113 megawatt (MW), kira-kira empat kali ganda berbanding Indonesia dan Thailand, menurut perunding Knight Frank,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pusat Data Infinaxis, di sini hari ini.

Jelasnya, pasaran pusat data negara dijangka menjangkau mencecah lebih AS$2 bilion (RM9.57 bilion) menjelang 2027 yang membuktikan pertumbuhan pesat dan potensi untuk mengatasi kadar pertumbuhan 47 peratus seluruh Asia Tenggara.

Menurut Teo, setiap RM1 bilion dalam pelaburan pusat data berpotensi mewujudkan antara RM400 juta hingga RM500 juta peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Industri itu juga dijangka mewujudkan kira-kira 2,000 pekerjaan langsung menjelang 2027, selain pekerjaan tidak langsung membabitkan ekonomi tempatan dan menyumbang kepada kesan ekonomi limpahan yang bakal memberi manfaat kepada industri ekosistem pusat data seperti ketersambungan, tenaga, tenaga boleh diperbaharui, kontrak pembuatan, bakat serta menarik lebih banyak kabel dasar laut untuk dibina di Malaysia.

“Ekonomi digital bukan sekadar industri namun ia menjadi sebahagian daripada landskap ekonomi negara. Ia dijangka menyumbang 24.4 peratus kepada KDNK negara pada tahun ini, di sebalik unjuran pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.2 peratus. Sinergi antara ekonomi tradisional dan digital yang menentukan kemakmuran kita,” katanya.

Ujarnya, dalam pembentangan Belanjawan 2024, lebih RM2.84 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Komunikasi dan Digital untuk menyokong ekonomi digital dan memupuk sektor digital negara.

Loading...
Terkini