Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
LIMA: Malaysia membayangkan penubuhan ekosistem halal di Peru dengan memanfaatkan pembangunan Pelabuhan Chancay sebagai laluan strategik untuk mengeksport produk halal negara menembusi pasaran Amerika Latin.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara itu disuarakan kepada Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra dalam mesyuarat dua hala sempena lawatan rasmi sulung ke rantau Amerika Latin sejak memegang jawatan tersebut pada 2022.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia menyedari kepentingan Pelabuhan Chancay yang baharu dibangunkan dan berharap dapat menyumbang kepada pembangunan infrastruktur di pelabuhan tersebut.
“Kami berharap dapat bekerjasama lebih lanjut dalam pelaburan, perdagangan, pelabuhan (Chancay) dan sektor tenaga (di Peru) dan juga (kerjasama Peru dalam) sektor ekonomi di Malaysia,” katanya pada sidang media bersama selepas mesyuarat kira-kira setengah jam itu.
Ujarnya, mesyuarat berkenaan adalah rentetan daripada pertemuan pertama mereka di luar Minggu Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di San Francisco, Amerika Syarikat pada November 2023.
Sementara itu, Anwar berkata, Dina Ercilia menerima jemputannya untuk berkunjung ke Malaysia yang dijangka berlangsung pada akhir tahun ini.
“Kedua-dua negara mempunyai hubungan diplomatik yang sangat baik dengan ulang tahun ke-40 hubungan terjalin.
“Saya telah menjemput Presiden Dina untuk melawat Malaysia dan beliau bersetuju untuk melawat (Malaysia) menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Terdahulu, Anwar diberi sambutan negara di pekarangan Istana Kerajaan Peru.
Kedua-dua pemimpin kemudian mengadakan mesyuarat tertutup sebelum disusuli dengan mesyuarat bilateral yang turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Turut sama adalah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Si.
Kedua-dua pemimpin kemudian menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu melibatkan kerjasama dalam industri halal antara Perbadanan Pembangunan Industri Halal Malaysia (HDC) dengan Suruhanjaya Penggalakan Eksport dan Pelancongan Peru (PROMPERU).
MoU lain termasuk kerjasama dalam bidang pertanian antara Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan Institut Inovasi Pertanian Kebangsaan (INIA) serta kerjasama dalam bidang gastronomi antara Taylor’s University dengan Pusat Latihan Pelancongan Peru (CENFOTUR).
Lima, ibu negara Peru dengan populasi 11.36 juta, menjadi tuan rumah mesyuarat APEC buat kali ketiga selepas 2008 dan 2016.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.