KUALA LUMPUR: Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan menggerakkan agenda ekonomi serantau dengan fokus meningkatkan perdagangan sesama negara anggota.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaringan komuniti ASEAN akan diperkukuh dan pembentukan grid tenaga ASEAN dilaksana lebih pantas.
Pendirian Anwar itu dikongsi pada sesi perbincangan bersama Pengerusi Eksekutif WEF, Profesor Klaus Schwab.
Pada sesi itu, Anwar turut ditanya mengenai kemungkinan ASEAN akan melihat kepada model kesatuan Eropah.
“Adakah ASEAN akan menjadi seperti EU, ini sesuatu yang belum diterokai, tetapi kelebihan adalah kami boleh belajar daripada kejayaan dan kekurangan EU, kami tidak bimbang mengenai soal politik tetapi lebih kepada kerjasama ekonomi serantau,” katanya.
Anwar turut mengambil kesempatan untuk berkongsi dasar ekonomi dan diplomatik yang terbuka.
Ini termasuk pembabitan Malaysia sebagai antara negara rakan kongsi dalam blok BRICS.
“Blok selatan perlu ambil pendirian, IMF perlu direformasi, UN juga perlu reformasi, kita bercakap mengenai demokrasi, akauntabiliti. Ini sahaja yang kami minta, bukan untuk berperang, kami masih dalam mekanisme semasa tetapi sebab itulah BRICS ini penting,” tambahnya.
Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama pada Sesi Pleno ASEAN bersempena WEF, 9 malam ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.