Oleh: Syafiqah Damanhuri
KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat untuk berkongsi visi dengan memberi tumpuan kepada ekonomi, pelaburan, perdagangan dan kerjasama bersama negara-negara jiran selaku Pengerusi ASEAN tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persediaan Malaysia untuk menyambung jawatan itu datang pada waktu yang tepat.
“Kita akan memegang tanggungjawab besar untuk menilai semula Visi Komuniti ASEAN 2025 dan menetapkan aspirasi untuk 10 tahun akan datang.
“Ia adalah relevan dengan apa yang dilakukan kerana kita mahu berkongsi perkara ini untuk memberi tumpuan dengan memastikan rantau ini kekal cergas dari segi ekonomi.
“ASEAN merupakan sub rantau yang paling aman di dunia dan sangat berdaya tahan dari segi ekonomi,” katanya dalam ucapan di Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke 140 Tahun HSBC di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia Datuk Omar Siddiq berkata, pelabur semakin mengalih tumpuan mereka kepada pasaran ASEAN khususnya Malaysia untuk peluang yang menjanjikan.
Turut hadir pada majlis berkenaan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.