comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia mahu keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN dipermudah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia mahu keanggotaan penuh Timor-Leste di dalam ASEAN dipermudah terutama membabitkan proses dokumentasi.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha untuk menjadikan negara tersebut sebagai ahli penuh ASEAN sedang dilaksanakan dan dipercepatkan.

“Banyaklah dia punya dokumentasi yang perlu dilakukan. Triti, mesyuarat dan kerjasama tetapi kebanyakan dokumen-dokumen tersebut adalah berasaskan ekonomi. Ada 86 dokumen tetapi 60 lebih kluster ekonomi.

“Kita telah minta tonggak ekonomi untuk melihat dan mengkaji jika boleh kita memendekkan senarai keperluan tersebut kerana bagi saya ada juga ahli-ahli ASEAN yang sedia ada belum lagi mencapai sepenuhnya syarat (menjadi negara anggota ASEAN) tersebut.

“Kenapa tidak kita beri Timor-Leste laluan awal untuk mereka menjadi ahli penuh. Boleh jadi kita letakkan syarat selepas (Timor-Leste) menjadi ahli penuh (ASEAN) nanti, kita beri mereka lima atau 10 tahun untuk patuhi semua dokumentasi, triti-triti yang patut mereka tandatangan. Kalau tidak sampai bila-bila mereka tak boleh (menjadi ahli penuh ASEAN),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan logo dan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Wisma Putra, di sini, hari ini.

ASEAN yang diasaskan pada 8 Ogos 1967, kini terdiri daripada 10 negara anggota Asia Tenggara, dengan keahlian penuh Timor-Leste masih dalam proses.

Timor-Leste ketika ini masih menunggu keputusan konsensus negara-negara ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh badan serantau itu.

Negara itu juga diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keahlian pada 4 Mac 2011.

Pada 2022, pemimpin ASEAN yang berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju Timor-Leste menjadi anggota ke-11 kumpulan itu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, keanggotaan penuh Timor-Leste di dalam ASEAN akan memperkasakan gabungan itu sebagai satu blok di rantau Asia Tenggara.

“Kita akan usaha sebaik mungkin kerana apa sahaja keputusan negara-negara ASEAN dan ahlinya harus berdasarkan konsensus. Bukan seorang atau keputusan Pengerusi ASEAN. Itu syaratnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini