NIBONG TEBAL: Malaysia meminta Bangladesh memberi penjelasan terperinci berhubung tujuannya meminta ekstradisi dua ahli perniagaan asal negara itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Bukit Aman telah menerima makluman rasmi dari Bangladesh, namun tidak dinyatakan objektif ekstradisi berkenaan.
Katanya, kerajaan memerlukan penjelasan terlebih dahulu sebelum kebenaran terhadap permohonan berkenaan diberikan.
“Saya telah berbincang dengan IGP (Ketua Polis Negara) dan Peguam Negara, kita kena jelas dulu apakah objektif (ekstradisi) ini.
“Kalau untuk tujuan siasatan, kaedahnya adalah pihak Bangladesh kena menggunakan saluran mutual legal assistance.
“Sekiranya mahu nama-nama itu dituduh di mahkamah (Bangladesh), maka mereka perlu invoke tujuan ekstradisi,” katanya ketika diminta mengulas status permohonan ekstradisi kedua-dua individu terbabit.
Saifuddin menjelaskan demikian ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan Projek Depot Tahanan Imigresen dan Kuarters Jawi Pulau Pinang, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Bangladesh membuat permohonan untuk mengektradisi dua ahli perniagaan berkenaan yang didakwa memainkan peranan penting dalam kes pemerasan.
Pada 24 Oktober lalu, Interpol Bangladesh memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia bahawa dua lelaki itu mendedahkan mangsa mereka kepada penyeksaan fizikal dan mental, namun kedua-duanya menafikan tuduhan terbabit.
Sementara itu, Saifuddin berkata, tiada laporan diterima berkait tiga warga Malaysia yang mendakwa mereka ‘wakil kerajaan’ berhubung siasatan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing melibatkan pekerja Bangladesh.
“Kita tidak terima apa-apa aduan atau laporan berhubung isu terbabit, ia cuma apa yang dilaporkan dalam media di sana.
“Kita tak ada maklumat dalam hal itu dan kita cuma berminat nak uruskan (siasat) sekiranya ada laporan atau permintaan rasmi dari Bangladesh,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.