PUTRAJAYA: Kerangka dasar baharu untuk negara dikenali ‘Membangun Malaysia Madani’ menggariskan bantuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan suntikan nilai kerohanian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata masyarakat madani atau Malaysia Madani bukan sesuatu yang baharu, mahu pun suatu idealisme malah bukan juga satu ‘tugu’ baharu untuk meninggalkan dasar-dasar yang lama.
“Yang lebih penting soal implementasi dari segi idealisme seorang pemimpin, dalam hal ini Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melontarkan pandangan mengenai masyarakat madani tidak lebih suku abad lalu.
“Apabila ditakdirkan beliau menjadi nakhoda kerajaan yang ada tentunya kerajaan diketuai beliau dan dokongan pelbagai parti harus memberikan penghayatan dan membuat susulan kepada pelaksanaan itu dan akhirnya kita lihat ia memberi kesejahteraan kepada masyarakat,” katanya kepada media selepas Amanat Perdana Menteri Membangun Malaysia Madani di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, ukuran kesejahteraan diucapkan Perdana Menteri memperlihatkan bahawa akhirnya keterangkuman daripada pelbagai kumpulan masyarakat, bangsa, agama dan juga wilayah itu adalah satu pendekatan baharu yang cukup lama ditunggu rakyat.
“Masyarakat yang selama ini memperolehi bantuan daripada kerajaan dalam apa bentuk pun supaya bantuan-bantuan ini biarpun diteruskan namun harus ada nilai kerohanian bagi menjadikan masyarakat dipertingkatkan taraf hidup dan tidak dipinggirkan.
“Ini adalah sesuatu yang bukan baharu tapi soal pelaksanaannya mesti dilakukan dengan minda madani seperti disebut Perdana Menteri. Ia mesti dirasai oleh rakyat keseluruhannya.
“Semua jabatan dan agensi kerajaan sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan harus memahaminya dan susulan harus dilakukan dalam menterjemahkan kos efektif dasar kerajaan,” katanya.
Sementara itu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menyeri sudah meletakkan kerangka asas untuk membawa gerak kerja Kerajaan Perpaduan ke hadapan selain satu misi untuk rakyat Malaysia.
“Dengan ucapan Perdana Menteri tadi, ia adalah usaha bukan sahaja dalam kalangan jemaah menteri tapi juga rakyat. Niat kita adalah untuk mengangkat martabat negara, menyelesaikan masalah rakyat dan keprihatinan yang diberi Perdana Menteri bukan sahaja kepada angka-angka yang memukau tapi untuk benar-benar menyelesai masalah semua golongan rakyat.
“Kita juga mendengar mesej berkaitan konglomerat dan projek-projek besar serta bagaimana tindakan terhadap apa-apa penyelewengan yang pernah berlaku sebelum ini oleh pihak berkuasa.
“Ini bagi saya memberi satu peluang yang sangat baik untuk satu rekalibrasi supaya pergerakan kita dalam memacu pertumbuhan ekonomi dalam keadaan politik yang stabil akan dapat dirancakkan selepas ini dan manfaatnya dinikmati rakyat dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, selepas ini semua kementerian, agensi dan badan kerajaan akan mula meneliti dokumen ini dan mengaplikasikan dalam dasar dan pelaksanaan bagi gerak kerja kementerian
“Kami di Kementerian Komunikasi dan Digital ada pemukiman hari ini dan kita akan bedah buku dan meneliti apa yang diumum Perdana Menteri serta gagasan yang dibawa ini,” katanya.
Perdana Menteri hari ini mengumumkan kerangka dasar baharu untuk negara dikenali ‘Membangun Malaysia Madani’, yang dirumus bagi mencipta lonjakan baharu. — BERITA HARIAN