comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia luluskan pelaburan dalam pusat data, perkhidmatan awan berjumlah RM114.7 bilion bagi tempoh 2021-2023

FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

KUALA LUMPUR: Malaysia telah meluluskan pelaburan dalam pusat data dan perkhidmatan awan berjumlah RM114.7 bilion bagi tempoh 2021-2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan itu menyediakan sebanyak 2,325 peluang pekerjaan baharu bernilai tinggi dalam bidang kepakaran khusus seperti saintis data, penganalisis data, jurutera data, penganalisis keselamatan siber dan jurutera rangkaian.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan MADANI komited untuk memacu Malaysia sebagai destinasi Pusat Data Kecerdasan Buatan (AI) Lestari di rantau Asia Tenggara sebagai salah satu usaha untuk memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan utama dunia.

Datuk Seri Anwar yang terdahulu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 4 Tahun 2024, hari ini berkata, MPN bersetuju supaya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menambah baik kerangka insentif semasa pusat data AI.

Insentif tersebut termasuk melalui mekanisme penggunaan peralatan cekap tenaga dan air, serta bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam penyediaan tenaga boleh baharu yang mencukupi bagi kegunaan pusat data AI, katanya dalam laman Facebook.

“Dalam mesyuarat itu saya tekankan pendekatan keseluruhan kerajaan dalam usaha berterusan menggalakkan pelaburan dalam sektor pusat data berteraskan AI. Ini terutamanya bagi meningkatkan limpahan ekonomi melalui pendigitalan serta kompleksiti ekonomi pelbagai sektor di Malaysia.

“Kerangka tersebut juga akan merangkumi padanan pemain pusat data dengan syarikat tempatan bagi tujuan pembangunan vendor tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kerjasama antara industri dan ahli akademik bagi memupuk inovasi dalam pembangunan peralatan cekap tenaga dan perisian,” tambahnya.

Terdahulu hari ini Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, juga menerusi hantaran di laman sosial berkata, MITI menerusi MIDA akan membentuk kerangka insentif khas untuk pusat data AI.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini