Oleh: Ridhuan Hussain
VIENTIANE: Malaysia dan Laos bertekad memperkukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara dalam pelbagai sektor di masa hadapan.
Ia termasuk penerokaan kerjasama dalam bidang pendidikan, sektor dagangan halal selain memperkasakan ASEAN melalui Konsensus Lima Perkara (5PC) yang kekal sebagai titik rujukan dalam mencari penyelesaian bagi krisis di Myanmar.
Komitmen itu dinyatakan kedua-dua negara dalam satu mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Laos Dr Sonexay Siphandone di sini, hari ini.
Kedua-dua pemimpin kemudiannya menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Lao National Railway State Enterprise (LNRSE) serta Mutiara Perlis Sdn Bhd (MPSB) dan Thanaleng Pelabuhan Kering (TDP).
Turut berlangsung, pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Electricite du Lao (EDL).
Datuk Seri Anwar tiba di sini petang semalam untuk lawatan sulungnya ke negara ini atas jemputan rakan sejawatannya dari Laos dengan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.