comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Malaysia laksana kawal selia baharu terhadap internet bermula 1 Ogos ini

 

KUALA LUMPUR: Semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan langkah itu akan dikuat kuasa bermula 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet diperkenal bermula 1 Ogos ini.

MCMC berkata, penguatkuasaan ini selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet di negara ini, mesti mematuhi undang-undang Malaysia.

“Sebelum ini, platform-platform terbabit dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000.

“Keputusan (perlesenan) itu demi memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.

MCMC berkata, kegagalan mana-mana perkhidmatan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588.

Katanya, kerangka kawal selia baru itu hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak membabitkan pengguna.

“Langkah ini bakal mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat serta pengalaman yang lebih baik untuk para pengguna, terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga,” katanya.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, sebelum ini memberitahu, kementerian dan agensi di bawahnya akan menetapkan syarat untuk melesenkan pengoperasian media sosial, memandangkan kini platform terbuka itu beroperasi di negara ini secara tidak berdaftar.

Satu kajian serta penelitian turut dijalankan Kementerian Komunikasi menerusi MCMC tahun lalu, bagi menjayakan usaha daftar dan perlesenan ini, termasuk kepada penyedia platform besar seperti Google, Meta dan TikTok.Penelitian atau kajian itu merangkumi pelbagai perkara termasuk implikasi dari sudut dasar terhadap perkhidmatan, aspek pelaburan dan perdagangan, kaedah percukaian serta aspek keselamatan pengguna di Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini