Tumpuan :
Nasional

Malaysia kutuk tindakan Israel perluaskan penempatan haram di Bukit Golan – Wisma Putra

Kenderaan pengangkut berperisai (APC) Israel memasuki Syria di garis gencatan senjata dengan Dataran Tinggi Golan yang diduduki Israel. – FOTO: Reuters

Oleh: Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang memperluaskan penempatan haram mereka di Bukit Golan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Wisma Putra menegaskan tindakan rejim zionis itu secara terang-terangan melanggar intergriti wilayah dan kedaulatan Syria.

“Serangan udara Israel yang menyasarkan pelbagai lokasi di wilayah Syria bertentangan dengan prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.

“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa agar menunaikan tanggungjawab undang-undang dan moral mereka dengan memastikan rejim Zionis Israel segera menghentikan semua serangan haram mereka dan bertanggungjawab atas pendudukan haram di tanah Syria, selaras dengan Resolusi 497 (1981) Majlis Keselamatan PBB,” jelas kenyataan itu.

Malaysia juga menuntut agar Israel mematuhi undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi PBB berkaitan, termasuk Resolusi 79/83 yang diterima pakai pada 3 Disember lalu.

“Malaysia terus menyokong kedaulatan, kemerdekaan, dan keutuhan wilayah Syria serta bersedia untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi mencapai keamanan, keselamatan, dan kestabilan yang berkekalan di Syria dan rantau Asia Barat yang lebih luas,” jelas Wisma Putra lagi.

Semalam, Kerajaan Israel menerusi satu kenyataan Pejabat Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu memaklumkan telah meluluskan rancangan meningkatkan penduduk di Bukit Golan.

Rancangan dengan nilai 40 juta shekel (RM49.39 juta) itu bagi pembangunan demografi di kawasan berkenaan susulan peperangan dan pentadbiran baharu di Syria serta hasrat menggandakan penduduk.

Tindakan itu bagaimanapun mendapat tentangan pelbagai negara termasuk Turkiye dan Jordan.

Tanah Tinggi Golan merupakan sebuah dataran berbukit di pinggir barat daya Syria, yang dirampas dan diduduki oleh Israel semasa Perang Enam Hari 1967.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini