comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia kutuk serangan berterusan Israel terhadap Lubnan

Wisma Putra berkata serangan Israel terhadap Lubnan l itu telah melanggar piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengancam keselamatan wilayah berkenaan. FOTO: Reuters

PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia mengutuk tindakan rejim Zionis Israel yang berterusan melancarkan serangan ketenteraan melalui serangan udara dan darat terhadap Lubnan.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, kekejaman rejim negara haram itu secara jelas melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa yang mengancam keselamatan, kestabilan serta kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan.

“Malaysia bersolidariti bersama Lubnan dan masyarakat antarabangsa untuk mendesak rejim Zionis Israel melaksanakan gencatan senjata segera bagi mengelakkan bencana kemanusiaan yang lebih dahsyat di Lubnan.

“Ia adalah penting bagi semua pihak untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau itu,” ujar kenyataan itu.

Selain itu, Wisma Putra turut memaklumkan sembilan rakyat Malaysia sudah meninggalkan Lubnan secara sukarela susulan situasi di negara itu semakin teruk.

“Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Beirut juga sedang melaksanakan proses evakuasi 15 lagi rakyat Malaysia bersama tiga warganegara asing yang iaitu pasangan kepada rakyat Malaysia yang masih berada di Lubnan dan empat rakyat Malaysia memilih untuk terus kekal di Lubnan.

“Empat pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beirut akan meneruskan operasi di Lubnan sehingga dimaklumkan kelak,” katanya.

Terdahulu, rejim Zionis memaklumkan pasukannya sudah memulakan serangan darat dengan menyasarkan kawasan kampung di selatan Lubnan dengan menyasarkan Hizbullah di kampung berhampiran sempadan Israel.

Tindakan itu dibuat selang beberapa hari selepas Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah, dibunuh rejim Zionis pada Jumaat lalu, susulan lonjakan ketegangan serantau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

 

Loading...
Terkini