PUTRAJAYA: Malaysia sentiasa konsisten dalam memperjuangkan setiap hak rakyat Palestin, berpaksi kepada keadilan dan menentang sebarang isu keganasan serta kekejaman, tegas Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata pihaknya telah beberapa kali menyentuh mengenai isu Palestin termasuk ketika di wawancara bersama pihak Al-Jazeera.
“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel yang menyalahi undang-undang dan mencabuli hak asasi manusia Palestin serta mencemar kesucian Masjid Al-Aqsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata beliau hari ini dikunjungi oleh barisan kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia diketuai Dr Muhamad Akmal Saleh serta barisan exconya dan menyerahkan memorandum mengenai pendirian mereka yang mengutuk isu serangan Israel terhadap Palestin.
“Saya mengambil maklum usul yang dibawa oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia serta segala cadangan yang diberikan,” katanya.
Jurucakap Presiden Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeineh sebelum ini dilapor berkata provokasi berterusan Israel terhadap Masjid Al-Aqsa adalah perkara yang “tidak boleh diterima” dan akan mencetuskan “peperangan”.
“Serangan terhadap tempat suci dan jemaahnya saban hari semasa bulan Ramadan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan akan memarakkan lagi api pergolakan,” kata Abu Rudeineh.
— BERNAMA