comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia komited perangi Islamofobia

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Negara komited untuk menyumbang kepada usaha-usaha berkesan dalam menangani Islamofobia.

Menurut Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, masyarakat antarabangsa bersepakat tahun lalu menetapkan 15 Mac sebagai Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia.

Katanya lagi, dengan berbuat demikian, Malaysia menjunjung semangat Perkara 1 mengikut Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia yang menyatakan bahawa ‘semua manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi kemuliaan dan hak.

“Malaysia berbangga menjadi sebahagian daripada solidariti antarabangsa yang tepat pada masanya bagi menangani Islamofobia dan semua tindakan kebencian serta keganasan terhadap individu atas sebab agama atau kepercayaan mereka.

“Mereka mempunyai pemikiran dan hati nurani dan hendaklah bertindak di antara satu sama lain dengan semangat persaudaraan.

“Islam adalah sebuah agama yang berlandaskan keamanan dan ajarannya yang benar menggalakkan penerimaan dan menghargai kepelbagaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Zambry berkata, adalah menyedihkan kerana pada masa ini, umat Islam masih dihalang daripada mengamalkan agama mereka dengan bebas dan ditindas kerana kepercayaan mereka.

“Malaysia amat kesal kerana perasaan syak wasangka, diskriminasi dan kebencian terhadap umat Islam meningkat kepada “kadar wabak” seperti dilaporkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Manifestasi tindakan Islamofobia menjurus ke arah ekstremisme dan keganasan,” katanya.
Beliau berkata, perkara ini seterusnya akan menjejaskan usaha ke arah keamanan dan keharmonian dunia.

“Masyarakat antarabangsa perlu melihat isu Islamofobia melangkaui retorik dan mengenal pasti langkah-langkah untuk menangani keadaan yang wujud dan sikap yang menyumbang ke arah perbuatan keji ini.

“Sebagai langkah ke hadapan, kita mesti bertindak secara kolektif dan kolaboratif dalam menangani isu ini,” katanya.

Katanya, kejayaan Malaysia dalam memupuk keamanan, keharmonian dan kestabilan adalah berdasarkan pengalaman Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berbilang kaum dan agama, yang turut diperkukuhkan lagi melalui konsep ‘Malaysia Madani’. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini