Tumpuan :
Nasional

Malaysia komited kukuhkan lagi hubungan dua hala dengan Brunei

FOTO: Wisma Putra / Facebook

KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan komitmen untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara Malaysia dan Brunei terutama dalam bidang perdagangan serta pelaburan.

Perkara itu disampaikan ketika beliau mengadakan kunjungan menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan, Brunei, hari ini.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, pada pertemuan itu turut dibincangkan adalah isu hubungan dua hala dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

“Datuk Seri Mohamad telah menyatakan komitmen untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara Malaysia dan Brunei terutama sekali dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

“Berhubung isu antarabangsa, Datuk Seri Mohamad telah mengulangi bahawa konflik di Palestin bukan hanya isu agama tetapi adalah isu kemanusiaan sejagat dan menyeru semua pihak untuk mengambil tindakan secara bersama dan tegas untuk menghentikan peperangan yang berlaku di Gaza,” katanya.

Menurut kenyataan itu, beliau turut mengadakan pertemuan bersama Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei, Datuk Seri Erywan Pehin Mohd Yusof.

Katanya, kedua-dua pemimpin telah membincangkan perkembangan hasil Rundingan Pemimpin Tahunan ke-24 yang diadakan pada 3 Ogos 2023 di Putrajaya.

“Kedua-dua pihak juga mengalu-alukan pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATO) dalam suku kedua tahun ini.

“Ini akan menggalakkan peningkatan perdagangan dan perkembangan sektor pelancongan di kedua-dua negara,” katanya.

Selain itu katanya, lawatan rasmi itu turut mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Brunei.

Katanya, tahun ini kedua-dua negara akan meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik.

“Pada tahun 2023, jumlah perdagangan Malaysia-Brunei mencatatkan sebanyak USD2.04 bilion (RM9.31 bilion).

“Selain itu, Brunei juga adalah rakan dagang ke-30 terbesar Malaysia di peringkat antarabangsa dan keenam terbesar di kalangan negara ASEAN,” katanya.

Ini adalah Lawatan Rasmi pertama Datuk Seri Mohamad ke Brunei sejak dilantik sebagai Menteri Luar pada Disember 2023.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini