comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia komited hasilkan minyak sawit mampan patuhi peraturan Eropah

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Malaysia mengulangi komitmen terhadap pengeluaran minyak sawit mampan susulan daripada pengumuman terkini Suruhanjaya Eropah bahawa ia tidak akan menangguhkan pelaksanaan Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata sebagai sebuah negara, Malaysia komited kepada matlamat utama kemampanan global seperti antara lain mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus liputan hutan, mencapai pelepasan sifar bersih gas rumah hijau (GHG) menjelang 2050, mengurangkan intensiti karbon berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mengurangkan pelepasan metana global sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

“Sektor minyak sawit Malaysia mengamalkan piawaian kemampanan yang ketat melalui skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Inisiatif ini bukan sahaja menunjukkan komitmen kita terhadap ketelusan dan kebolehjejakan sepanjang rantaian bekalan, tetapi juga memastikan industri bersedia sepenuhnya untuk mematuhi peraturan berkenaan.

“Malaysia menekankan empat fokus utama dalam memastikan kemampanan produk minyak sawit Malaysia, yang merangkumi elemen kebolehjejakan, bebas daripada penebangan hutan, pemilikan tanah yang sah, dan amalan buruh yang baik selaras dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Johari berkata, daripada 5.7 juta hektar kawasan tanaman sawit di Malaysia, 73 peratus diterajui oleh syarikat-syarikat besar, di mana kebanyakan mereka dilengkapi dengan pengetahuan dan sokongan untuk mematuhi peraturan serta mengeksport ke pasaran Eropah.

“Selebihnya, 27 peratus daripada pengeluaran minyak sawit yang dihasilkan oleh kira-kira 450,000 pekebun kecil, menghadapi cabaran unik dalam menyesuaikan diri dengan landskap peraturan yang semakin berkembang.

“Kerajaan, melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi, sedang giat melaksanakan inisiatif peningkatan kapasiti untuk menyokong peralihan mereka ke arah pematuhan EUDR. Ini penting untuk memastikan mata pencarian pekebun kecil ini tidak terjejas oleh pelaksanaan peraturan terbabit.

“Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan antarabangsa kita untuk memastikan hasil yang saling menguntungkan serta memerangi perubahan iklim dan penebangan hutan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini