Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Malaysia komited cari penyelesaian konflik Myanmar

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir – FOTO: NSTP

Oleh: Khairul Rizuan Azizan

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal dengan pendirian menyokong usaha mencari penyelesaian konflik di Myanmar.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, semua pihak turut diseru kembali ke meja rundingan demi mencapai satu penyelesaian damai dan berkekalan.

“Isu Myanmar ini isu yang sangat kompleks yang memerlukan kebijaksanaan diperingkat ASEAN untuk kita selesaikan.

“Kerana sekiranya kita gagal menangani secara bersama dalam konteks ASEAN, ia akan menimbulkan masalah yang datangnya bukan dalam lingkungan ASEAN,” katanya.

Jelasnya, terdapat usaha pihak tertentu untuk cuba masuk ke dalam Myanmar yang akan menyebabkan wujudnya satu perlumbaan kuasa untuk menguasai geopolitik di kawasan berkenaan.

“Lantaran itu, pendekatan yang dibuat dalam konteks Myanmar perlu diselesaikan secara ASEAN.

“Ia tak boleh dilakukan oleh satu-satu negara saja tanpa dibincangkan dalam konteks negara ASEAN, atas alasan itulah kita mengadakan beberapa siri perbincangan,” katanya di Dewan Rakyat pagi tadi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad.

Tambahnya, Malaysia berpandangan bahawa situasi di Myanmar adalah permasalahan serantau yang menggugat keselamatan, keamanan, kemajuan dan kemakmuran ASEAN.

Justeru, Malaysia juga akan terus memainkan peranan penting di platform antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dalam menyuarakan pendirian negara.

Ia bagi membolehkan pihak yang terlibat dapat mencari jalan konstruktif ke arah penyelesaian yang tuntas bagi menangani krisis di Myanmar.

Loading...
Terkini