Tumpuan :
Nasional

Malaysia ketengah model perpaduan nasional pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy. – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk mengetengahkan model perpaduan nasionalnya yang unik, pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Justeru, Kementerian Perpaduan Negara akan menekankan aspek keharmonian pelbagai kaum, budaya dan etnik di Malaysia yang menjadi tarikan utama pada peringkat global.

Timbalan Menterinya, K Saraswathy, berkata Kementerian Perpaduan Negara adalah satu-satunya yang seumpama itu di dunia, menjadikan Malaysia contoh teladan bagi kehidupan bersama yang harmoni.

“Kementerian Perpaduan Negara adalah unik kerana hanya ada satu kementerian seperti ini di dunia.

“Pada peringkat antarabangsa, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara berbilang kaum, budaya serta etnik yang mampu mengekalkan tahap perpaduan dan persefahaman sangat tinggi dalam kalangan rakyat,” katanya.

Kejayaan Malaysia memupuk perpaduan turut mendapat pengiktirafan global – sebahagiannya hasil usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang giat berinteraksi dengan pemimpin antarabangsa bagi menarik pelaburan ke Malaysia.

“Satu daripada tarikan untuk pelabur ialah perpaduan yang wujud dalam komuniti kita. Negara lain berminat untuk belajar daripada pengalaman kita.

“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, kita berjaya mengatasinya dan muncul sebagai model teladan bagi rantau ini,” katanya.

Saraswathy berkata, kekuatan Malaysia bukan saja terletak pada ketiadaan ketegangan kaum tetapi juga keupayaan negara memupuk keamanan dan keharmonian.

“Apabila kita bercakap mengenai perpaduan, ia bukan sekadar ketiadaan perpecahan. Di sesetengah negara, mungkin tiada perpecahan nyata tetapi wujud ketegangan atau kebencian antara kaum. Itu tidak berlaku di Malaysia.

“Kita telah membentuk masyarakat yang berpaksikan prinsip-prinsip Rukun Negara,” katanya.

Menjelaskan lagi kejayaan Malaysia, beliau menekankan akan pentingnya mempromosikan nilai perpaduan pada peringkat ASEAN, terutama apabila Malaysia bersiap sedia untuk memimpin blok serantau itu pada 2025.

“Kami ingin menunjukkan bahawa kami bukan saja melabur dalam sumber manusia dan infrastruktur tetapi juga nilai-nilai yang mendukung perpaduan. Ini adalah sesuatu yang boleh kita ketengahkan pada peringkat ASEAN, terutama konsep kehidupan bersama secara harmoni,” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha Malaysia itu akan terus mendorong rakyat untuk menghargai dan mengekalkan keharmonian negara.

“Apabila dunia melihat kita sebagai sebuah negara yang aman, ia memotivasi rakyat kita untuk terus mempertahan dan meningkatkan keharmonian ini.

“Ia adalah proses dua hala yang mengukuhkan komitmen kita terhadap perpaduan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini