comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia kekal tegas, tetap beri penekanan terhadap rejim Zionis

Oleh: Syafiqah Damanhuri

VIENTIANE: Malaysia kekal tegas dengan pendirian untuk tetap memberi penekanan terhadap keganasan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tugas itu digalasnya dalam semua pertemuan bilateral dengan negara rakan ASEAN agar mesej berkenaan dapat disampaikan dengan jelas.

“Jadi, saya sebab itu ambil pendirian dan kita harus tegas dengan pendirian kita. Mustahil tidak faham, mustahil tidak dengar, anak-anak muda bangkit, rakyat bangkit berjuta-juta orang di kota besar menyatakan bahawa keganasan telah berlaku sejak 1947, 1948.

“Tetapi kita harus terus menggalas tugas ini, suarakan aspirasi hak rakyat Palestin secara adil, malah kita tidak setuju keganasan, tetapi dengan syarat hak itu dipatuhi,” katanya dalam satu sidang media pada hari akhir Sidang Kemuncak ASEAN kali ke-44 dan kali ke-45 di sini.

Tambahnya, Malaysia turut mengutuk keras keganasan rejim Zionis itu di Gaza dan kini Lebanon.

“Ini penting kerana kita sebut tegas, berdepan dengan semua kumpulan negara yang hadir, termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS).

“Kita tekankan tidak harus ada pengecualian terhadap mana-mana pelanggaran hukum antarabangsa terhadap mana-mana negara seperti berlaku sekarang seperti bertindak sewenang-wenangnya.

“Ini termasuk kutukan Israel terhadap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyebabkan keganasan dan pengeboman yang menyebabkan lebih 200 anggotanya juga turut dikorban, selain 40,000 dari gaza dan kini Lubnan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini