Tumpuan :
Nasional

Malaysia kekal bebas, berkecuali hadapi dinamika geopolitik, ekonomi global – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Foto: NSTP

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh bertindak tergesa-gesa dalam memberi reaksi terhadap ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global, termasuk perubahan dasar yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dasar antarabangsa boleh berubah dalam tempoh singkat, seperti yang berlaku semalam apabila Trump menangguhkan pelaksanaan tarif ke atas Mexico dan Kanada hanya beberapa jam sebelum ia berkuat kuasa.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia mengamalkan dasar bebas dan berkecuali selaras dengan pendekatan ASEAN, selain terus memperluas hubungan dengan pelbagai negara.

“Pagi semalam berlaku perubahan apabila tarif terhadap Kanada dan Mexico ditangguhkan. Dalam tempoh sebulan ini, dasar mungkin berubah atau kekal seperti sedia ada.

“Apa yang kita lakukan adalah mengekalkan dasar bebas dan berkecuali, sambil secara proaktif memperluas jaringan hubungan antarabangsa termasuk dengan Afrika melalui Afrika Selatan dan Ethiopia, Amerika Latin seperti Brazil dan Peru, serta memperkukuh kerjasama dengan China dan Rusia.

“Melalui jaringan ini, kita yakin dapat menarik lebih banyak pelaburan baharu dan meningkatkan eksport ke negara lain,” katanya ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) dalam Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Lim meminta penjelasan mengenai pendirian Malaysia terhadap perang perdagangan global yang berpunca daripada dasar tarif Trump serta langkah kewangan dan fiskal yang diambil bagi melindungi ekonomi dan rakyat daripada kesannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini