Tumpuan :
Nasional

Malaysia kehilangan seorang lagi permata seni – TPM Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Datuk Hail Amir yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi catatan di Facebook beliau, Ahmad Zahid mendoakan semoga ahli keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” menurut catatan itu.

Beliau berkata Malaysia kehilangan seorang lagi permata seni tanah air yang merupakan penyanyi dan pelakon era 1970an cukup berbakat serta berjiwa besar.

Berita pemergian Hail, 76, atau nama sebenarnya Abdul Hail Amir pada 3.43 petang di Hospital Kuala Lumpur (HKL) disahkan Presiden Persatuan Seniman Malaysia Rozaidi Abdul Jamil, yang lebih dikenali sebagai Zed Zaidi.

Allahyarham terkenal dengan lagu Seloka Hari Raya, Menunggu Nasi Minyak dan Antara Matamu dan Mataku, yang dinyanyikan secara duet bersama Uji Rashid.

Bapa kepada empat cahaya mata itu menerima darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk pada 2022 daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. – BERNAMA

Loading...
Terkini